Wahai sahabatku,
Cinta
itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat
menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak
mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah
itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang
sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah.
Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta
Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang
sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat
kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa
dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak
sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta
kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan
pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima
segala penolakan.
Wahai sahabatku,
Hati
kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati
tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa
tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata
hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala
cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita
memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan
ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang
yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat
menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita
sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala
anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan
nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih
layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan
ketaatan yang sepatutnya?
Wahai sahabatku,
Allah
menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan
janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah
setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang
beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada
engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada
apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia
buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan
kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu?
Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau
sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang
sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi
hamba yang kufur dan lupa diri.
Wahai sahabatku,
Sungguh
cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih
baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali
kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai
cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta.
Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya,
ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah
engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih
jauh daripada Allah?
Wahai sahabatku,
Aku
tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala
kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak
meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin
engkau mengerti bahawa milik Allah lah segala kejadian. Kemudiannya aku
ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam
kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci
kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di
saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda
yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga
dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat
cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang
kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di
akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal
selama-lamanya.
Wahai sahabatku yang kecewa,
Bersabarlah sayang,ade hikmah disebalik semua ini..…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan