Imam yang dinanti
Tertegak Islam di dalam diri
Hatinya dilingkari cinta Yang Satu
Iman dan taqwa menjadi sepatu
Dengan roh Islam dia melangkah maju
Dahagakan keredhaan-Nya, hauskan ilmu
Gagah melawan nafsu
Solatnya dihayati penuh syahdu
Kata-katanya benar tidak menipu
Imam yang dinanti
Teguh dalam saf perjuangan
Teman-temannya adalah
Pencinta syariat Islam
Yang menyampaikan ilmu di dada
Buat umat yang kehausan
Yang menginfakkan harta
Untuk jalan jihad dan kebenaran
Imam yang dinanti
Adalah lelaki beriman
Yang mengalir dalam darahnya
Segala sifat kepimpinan
Suka berbuat kebajikan
Berbakti pada ayah bondanya
Dengan penuh kebaikan
Dalam rumahtangga
Dialah penjaga kerukunan
Menghiasi jiwa ahlinya
Dengan seagung-agung pegangan
Mendidik anak dan isterinya
Untuk terus menghayati Islam
Yang mengamalkan hidup
Penuh kesederhanaan
Yang dunia ini baginya
Rumah sementara menuju akhirat
Imam yang dinanti
Sentiasa sedia menjadi imamku
Yang hidup di bawah naungan Al-Quran
Dan petunjuk Rasulullah saw
Yang menjaga matanya
Daripada berbelanja
Yang sujudnya penuh kesyukuran
Dengan rahmat Allah ke atasnya
Imam yang dinanti
Tidak pernah membazirkan masa
Matanya kepenatan kerana membaca
Suaranya lesu kerana mengaji dan berzikir
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Bangun Subuhnya penuh kecergasan
Kerana sehari lagi usianya
Bertambah penuh kematangan
Imam yang dinanti
Sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan itu
Perlu dibaja dan dijaga
Agar berputik dan bertunas
Bakal menjadi baka yang baik
Meneruskan perjuangan Islam
Sebelum hari kemudian
Imam yang dinanti
Adalah lelaki yang
Tidak terpesona dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Di situlah rumah idamannya
Dan dia ingin membawaku bersama
Dialah
Imam yang kunanti...!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan