Dikatakan
bahawa Ummul Mu’minin Saidatina Khadijah r.a. berumur 40 tahun ketika
beliau berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ia adalah suatu riwayat yang
yang tidak berasas tetapi telah disebarkan sebegitu rupa dan digarap
seolah-olah sebahagian daripada ugama. Ini adalah percubaan untuk
membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui zaman mudanya
bersama-sama dengan seorang wanita tua. Dalam usia lanjut, beliau r.a
telah melahirkan empat orang anak perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu
Kalthum dan Fatimah r.a.; dan tiga orang anak lelaki yang dinamakan
Qasim, Tayyab and Tahir. Menurut sesetengahnya pula, beliau r.a. telah
melahirkan empat orang anak lelaki; ada seorang yang bernama Abdullah,
sedangkan setengah yang lainnya pula menyatakan bahawa yang sebenarnya
Abdullah telah dipanggil sebagai Tayyab dan Tahir.
Saidatina
Khadijah r.a. telah berkahwin sebanyak dua kali sebelum berkahwin
dengan Rasulullah s.a.w. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Abu Halah
Hind bin Banash bin Zararah. Daripadanya, beliau telah mendapat seorang
anak lelaki dan seorang anak perempuan. Nama anak lelakinya ialah Hind
dan anak perempuannya bernama Halah. Setelah kematian Abu Halah,
Khadijah r.a. berkahwin dengan Atiq bin ‘Aid Makhzumi. Daripadanya dia
mendapat seorang anak perempuan yang juga bernama Hind. Inilah sebabnya
mengapa Saidatina Khadijah r.a. mendapat kunniyah sebagai Ummu Hind.
Anak lelaki Saidatina Khadijah, Hind, telah memeluk Islam.
(Seerat-un-Nabi, Jilid II, m/s 402).
Di sini, timbul satu
persoalan, iaitu Saidatina Khadijah r.a. telah melahirkan empat orang
anak sahaja di usia mudanya, namun semasa usia tuanya beliau telah
melahirkan tujuh atau lapan orang anak, yang mana ia agak bertentangan
dengan logik akal. Sebabnya, menurut Sains Perubatan, seorang wanita
menjadi tidak subur untuk melahirkan anak, biasanya apabila melewati
usia 45 tahun. Bagaimana pula boleh dipercayai bahawa lapan orang anak
telah dilahirkan setelah melepasi usia 40 tahun?
Pihak
Orientalis dan musuh-musuh Islam telah memberi perhatian khusus terhadap
riwayat ini, kerana peristiwa ini jelas bertentangan dengan akal.
Dengan mendedahkan peristiwa seperti ini, mereka mengambil kesempatan
untuk mencemuh Islam.
Namun begitu, ulama kita sebaliknya
menganggap kejadian ini sebagai ‘satu mukjizat’ Rasulullah s.a.w.
Tambahan lagi mereka menganggap inilah keistimewaan nabi s.a.w. kerana
sanggup mengahwini wanita yang tua sedangkan baginda s.a.w. sendiri muda
belia.
Di pihak yang lain golongan Syiah mendakwa adalah
tidak mungkin melahirkan sebegitu ramai anak di usia tua. Oleh itu,
Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum tidak diiktiraf sebagai anak nabi
s.a.w.
Golongan Syiah mengatakan bahawa umur Khadijah r.a.
ialah 40 tahun semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Meskipun
mereka amat mahir bermain dengan angka, mereka telah melakukan kesilapan
bodoh bila mendakwa bahawa Fatimah r.a. dilahirkan lima tahun selepas
kenabian. Dalam hal ini, Khadijah sudah berumur 60 tahun semasa
melahirkan Fatimah r.a.. Dengan ini tidak mungkin Ruqayyah dan Kalthum
adalah anak kepada Khadijah kerana mereka adalah lebih muda dari
Fatimah.
Kita akan membuktikan bahawa empat orang anak
perempuan ini adalah dilahirkan oleh Saidatina Khadijah r.a. dari
Rasulullah s.a.w. Tetapi sebelum itu orang Syiah perlu membuktikan
bahawa seorang wanita yang berusia 60 tahun boleh melahirkan anak. Dan
apabila mereka membuktikannya, mereka mesti juga membuktikan bahawa
Fatimah r.a. adalah anak kepada Khadijah r.a.
Sebenarnya
terdapat perbezaan pendapat tentang usia sebenar Khadijah r.a bila
berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ada yang berkata umurnya 40 tahun.
Ada yang berpendapat usianya 35 tahun. Yang lain pula mengatakan 30
tahun, dan sesetengah pula mengatakan 27 tahun, manakala ada pula yang
menyatakan bahawa usianya 25 tahun. Ahli-ahli sejarah Syiah sependapat
mengatakan umurnya 40 tahun, dan mereka menolak pendapat lain. Dan
mereka riuh rendah menyebarkan pendapat ‘40 tahun’ ini seolah-olah
pandangan lain tidak pernah wujud. Ulama kita dan ahli-ahli sejarah yang
terkemudian juga terpengaruh dengan daayah ini dan menyangkakan bahawa
pendapat golongan Syiah inilah yang ‘tepat’.
Hafiz Ibn Kathir menulis:
“Baihaqi
telah memetik daripada Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini
Khadijah r.a., baginda s.a.w. adalah berumur dua puluh lima tahun dan
Saidatina Khadijah r.a. berumur tiga puluh lima tahun, dan ada pendapat
lain mengatakan usianya dua puluh lima tahun.” (al-Bidayah, Jilid II,
m/s 295)
Dengan lain perkataan, Baihaqi dan Hakim
menyatakan bahawa Saidatina Khadijah r.a. berusia tiga puluh lima tahun
pada waktu itu. Bersama-sama dengan itu, mereka juga turut mengatakan
bahawa ada pendapat bahawa beliau r.a. berusia dua puluh lima tahun.
Di
tempat lain, Hafiz Ibn Kathir mengatakan usia Saidatina Khadijah r.a.
pada masa kewafatannya, sebagaimana berikut: “Usia Saidatina Khadijah
mencapai 65 tahun. Satu pendapat mengatakan beliau meninggal pada usia
50 tahun. Dan pendapat ini (iaitu 50 tahun) adalah yang benar.”
(al-Bidayah wan Nihayah, Jilid II, m/s 294)
Ulama Hadis
dan ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadijah r.a. menjalani
hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w. selama 25 tahun dan beliau r.a.
meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir berkata;
‘pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun’ telah membuktikan
bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya ialah 25 tahun.
Dan juga, Hafiz Ibn Kathir juga telah membuktikan bahawa ‘maklumat’
yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40 semasa
berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.) adalah salah dan tidak benar sama
sekali..
Meskipun dengan fakta yang sebegini jelas, kita
masih mempercayai (dan terperangkap) dalam berita yang lebih merupakan
khabar angin semata-mata.
Apabila kami mengkaji
‘Al-Bidayah wan-Nihayah’ yang ditulis oleh Ibn Kathir, barulah kami
menyedari akan kesilapan kami. Semoga Allah yang Maha Kuasa mengampuni
kami, kerana kami adalah mangsa kepada suatu salah faham yang besar.
Moga Allah yang Berkuasa mengurniakan kepada kita semua kefahaman akan
Kebenaran.
Wallahua’lam
Aamin! Ya Rabbal Aalamin
best ta?klu best jgn malu malu LIKE ye